fb fb fb fb fb

Bot karam, 7 pemancing selamat

Foto RTM

KUCHING, 14 Jun – Tujuh pemancing tempatan berdepan detik cemas selama lebih empat jam apabila bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Po, petang tadi.

Menurut Komander Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nur Hafiza Hasan, kejadian berlaku pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika di utara Tanjung Po.

Kesemua mangsa yang berumur antara 26 hingga 39 tahun itu berjaya diselamatkan kira-kira pukul 6 petang oleh pasukan Maritim Malaysia.

Bagaimanapun, sebelum ketibaan pasukan Maritim, mereka terlebih dahulu diselamatkan oleh krew kapal dagang MTT Rajang yang sedang dalam pelayaran dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuching sekitar pukul 3.30 petang.

Semua pemancing berkenaan tiba di Jeti Maritim Malaysia Muara Tebas pukul 7.15 malam dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD