fb fb fb fb fb

Kereta terbabas dalam sungai, pesara wanita maut

FOTO FAIL

KUANTAN, 25 September - Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam sungai ketika melalui jambatan Balok Makmur, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Paridah Dollah,67 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suaminya Abd Aziz Ahmad,66 tahun, merupakan penumpang hadapan mengalami sesak nafas dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri yang merupakan pesara menaiki kereta dari arah Balok Makmur menghala ke Seberang Balok. Sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai," katanya menerusi kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

TETITIA YUSOFF