KUANTAN, 16 Julai - Seorang kerani kerugian lebih RM126,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) pada November tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohd Adli Mat Daud berkata, lelaki berusia 56 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai pihak insurans.
Suspek mendakwa terdapat individu yang menggunakan nama mangsa untuk membuat tuntutan insurans palsu.
Panggilan kemudiannya disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai pegawai polis dan pihak pendakwa raya serta dimaklumkan perlu membuat bayaran jaminan sebanyak RM68,000 untuk menyelesaikan kes itu.
Panik dan percaya terhadap dakwaan itu, mangsa telah melakukan tiga transaksi berasingan kepada tiga akaun bank berbeza menggunakan mesin deposit tunai melibatkan jumlah keseluruhan RM126,500 menggunakan wang simpanannya.
Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak dapat menghubungi pihak berkenaan.