KUALA LUMPUR, 16 Julai - Penganjuran 'The International Hospitality Housekeeping and Laundry Summit Malaysia 2025' (IHHS 2025) secara rasmi mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
Pengarah kanan merangkap Ketua Sekretariat Bahagian Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) Pengiklanan dan Digital, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata ia turut mencerminkan kredibiliti Persatuan Ketua Jurukemas Malaysia (MAHIR) dan pengiktirafan global terhadap komitmen negara dalam memajukan ekosistem hospitaliti yang berkualiti tinggi.
"IHHS 2025 bukan sekadar perhimpunan ia adalah platform strategik yang menyatukan pemain industri untuk bertukar ilmu, mengiktiraf profesion pengemasan sebagai barisan hadapan industri, dan memperkukuh amalan mampan dalam sektor hospitaliti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program berkenaan di sini.
IHHS 2025 menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk 40 delegasi antarabangsa dari Vietnam, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Maldives.
Sebagai sebahagian daripada pengisian IHHS 2025, delegasi antarabangsa turut dijadualkan menyertai lawatan rasmi ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2025 sebagai pendedahan kepada identiti budaya Malaysia, infrastruktur moden serta potensi pelancongan bandar menjelang VM2026.
Penganjuran itu turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang melihat IHHS 2025 sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan profesional, meningkatkan standard industri serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju hospitaliti serantau.
Sidang kemuncak itu dijangka menjadi pencetus kepada lebih banyak kolaborasi serantau dan membuka laluan kepada inovasi serta profesionalisme dalam sektor hospitaliti Asia Tenggara.