PUTRAJAYA, 16 Julai - Forum Al-Falah MADANI melibatkan ketua-ketua agensi agama akan diadakan secara berkala di seluruh negara supaya amanat berdasarkan kerangka Transformasi Hal Ehwal Islam supaya dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, libat urus strategik antara agensi dan rakyat itu dapat meningkatkan kefahaman dan merapatkan semula jurang antara institusi agama dan umat.
"Kita akan cuba buat secara berkala dan kita akan pilih lokasi sTrategik untuk jemput ketua-ketua agensi, Sebab mereka tahu program-program yang diaturkan dan boleh memberikan maklumat terkini kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini.
Semua agensi juga diseru untuk berganding bahu melaksanakan inisiatif Santuni Al-Falah MADANI : Agenda Kesejahteraan Sosial Ummah yang menekankan aspek kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam.
Turut diadakan Peluncuran Program Pondok Da’ie Muda YADIM yang bakal melahirkan pendakwah muda yang diberi nilai tambah daripada sudut kemahiran profesional, kepimpinan komuniti dan keupayaan dakwah kontemporari.
Sementara itu peluncuran Kad Debit–i Bank Islam Visa MAIWP merupakan satu
inisiatif yang akan membantu memudahkan penyaluran bantuan kepada penerima bantuan MAIWP.
Turut disampaikan bantuan pendidikan kepada dua institusi pengajian tinggi MAIWP melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM150,000.