fb fb fb fb fb

Kerangka kawal selia, pelesenan media sosial dilaksana 1 Januari 2025

Fahmi Fadzil

SEPANG, 27 Ogos- Kerajaan masih berpendirian untuk mengenakan kerangka kawal selia kepada platfrom media sosial dan sistem pesanan internet yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, gesaan daripada Gabungan Internet Asia (AIC) menangguhkan hasrat itu, tidak mewakili keseluruhan anggotanya.

Beliau juga bersedia bertemu AIC serta mana-mana pihak untuk menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung pelaksanaan kerangka berkenaan.

"Mungkin AIC belum diberi maklumat dan taklimat berhubung garis masa yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ruang berbincang masih ada.

"Kerajaan Malaysia masih berpendirian platform media sosial dan sistem pesanan internet perlu dikenakan kerangka kawal selia untuk menjamin internet lebih selamat bagi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak dan keluarga," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media program Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini.

AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa langkah pelesenan kerajaan 'tidak boleh dilaksanakan' bagi industri.

Perkara itu dianggap mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Sementara itu kerajaan akan membaiki infrastruktur dan membina Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Orang Asli Kelinsing di sini dengan kos RM5 juta.

Beliau berkata daripada peruntukan itu RM2.5 juta adalah untuk menaik taraf infrastruktur, termasuk pembinaan semula dewan kebudayaan, kantin, tandas awam, dan pewujudan ruang perniagaan baharu dalam kompleks kebudayaan itu, manakala selebihnya akan digunakan untuk membina NADI.

Menurut Fahmi MCMC akan menyediakan 10 unit komputer riba yang boleh dimanfaatkan penduduk secara percuma.

"...dengan adanya nadi di kelinsing, dengan kelajuan internet 100 mbps. kita harap warga setempat akan diberi kesedaran cara guna internet lebih selamat utk elak jenayah siber termasuk penipuan dan buli siber dan lain-lain," katanya.

Bagi membantu mempromosikan produk kraf tangan masyarakat orang asli di kampung itu, Fahmi berharap hasil ciptaan mereka dapat dipasarkan di ruang perniagaan yang dijangka siap hujung tahun ini malah boleh dijadikan sebagai cenderahati kepada delegasi asing yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di ibu negara.

"Kita mahu hasil kraf tangan dari kampung ini dijadikan sebagai cenderahati kepada perwakilan yang datang dari jauh ke negara kita. Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Perhubungan (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) mempertimbangkan perkara ini," katanya lagi.

Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, yang akan melibatkan semua negeri dan bukan hanya berpusat di Kuala Lumpur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI