fb fb fb fb fb

Sasar Pelabuhan Klang antara 10 paling sibuk global

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook

KLANG, 27 Ogos - Lembaga Pelabuhan Klang (PLK ) perlu lebih proaktif meningkatkan produktiviti dalam usaha mencapai sasaran pelabuhan terbesar pada 2024 .

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mahu sasaran pelabuhan Malaysia tersenarai 10 pelabuhan paling sibuk pada tahun hadapan selepas menduduki tangga ke 11 pada 2023 dapat di capai.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan faktor Malaysia yang mempunyai sebuah kerajaan kukuh, politik yang stabil dan dasar mesra pelabur yang menarik minat syarikat membina kilang di negara ini.

"Kita mengamalkan dasar perdagangan yang terbuka baik dengan Amerika Syarikat (AS), Eropah, dengan China. Faktor ini menyumbang kepada peningkatan produktiviti pelabuhan selain disokong peningkatan nilai perdagangan kita di samping industri eksport dan import yang amat menggalakkan" kata Anthony Loke.

Beliau di temui media dalam sidang media selepas melancarkan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier (PATH) Peringkat Kebangsaan di Pelabuhan Utara di sini.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Jelas Anthony Loke lagi kontena import dan eksport tempatan juga meningkat sebanyak 8.4 peratus kepada 6.16 juta TEU pada 2023 berbanding 5.68 juta TEU pada tahun sebelumnya.

Mengulas program hari ini, keseluruhan peruntukan RM4 juta dari HRD Corp dan LPK merupakan program latihan yang bagus dalam membantu menyelesaikan isu kekurangan pemandu Haulier terutamanya dalam industri pelabuhan terutamanya yang berpusat di Johor.

Inisiatif juga susulan daripada keputusan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan supaya pihak pelabuhan melatih 1,000 individu untuk memperoleh lesen khusus bagi mengatasi masalah berkenaan.

Program itu turut melibatkan individu di pelabuhan-pelabuhan lain dalam negara dan 200 peserta dari kalangan B40 untuk dilatih dan diberi peluang pekerjaan di terminal pelabuhan-pelabuhan, katanya.

Sementara itu Anthony Loke berkata, beliau akan membentangkan laporan mengenai isu teknikal melibatkan Malaysia Airlines di kabinet, esok.

Katanya, Malaysia Airlines telah mengambil langkah segera dengan mengkaji masalah teknikal bagi mengelakkan gangguan operasi pada masa akan datang.

"Apa yang Malaysia Airlines lakukan ialah mereka mengurangkan sekarang ini penerbangan untuk sektor-sektor antarabangsa. Dan jumlah penerbangan telah dikurangkan hingga bulan Disember supaya mereka fokus dulu pastikan kapal-kapal ini dapat dihantar untuk penyelenggaraan dan sebagainya.

"Juga pastikan isu-isu teknikal ini dapat diselesaikan dengan lebih baik dan supaya mengurangkan gangguan operasi," katanya.

TETITIA YUSOFF