fb fb fb fb fb

Kerajaan usaha selesai pindaan akta OKU 2008, teruskan dasar kesaksamaan jantina - Zambry

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 antara usaha yang sedang diteliti untuk diselesaikan sejajar dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu hak asasi golongan berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan juga akan meneruskan dasar bagi mencapai kesaksamaan jantina selain mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak.

(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)

"Sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua rakan kongsi untuk merealisasikannya.

"Malah semua kementerian dan agensi kerajaan baru-baru ini sudah melantik 'Gender Focal Point' di peringkat pengurusan tertinggi untuk memastikan inisiatif kesaksamaan jantina ini dilaksanakan," katanya menerusi rakaman ucapan sempena Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, bertemakan 'Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind' di sini,

Forum secara hibrid dan penstriman dalam talian itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tambah Zambry, kerajaan memberi jaminan memperkasakan golongan muda agar mereka dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran dalam menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif.

Katanya, kerajaan turut bekerja keras untuk menangani perubahan iklim dan memartabatkan hak asasi berkaitan alam sekitar yang wajib diberi perhatian demi generasi masa Depan.

"Di peringkat antarabangsa, kami memperkasakan advokasi dan usaha global untuk menangani penderitaan rakyat Palestin serta Rohingya.

"Malaysia akan terus memperbaiki keadaan hak asasi manusia di negara ini terutama dalam menangani isu yang mencabar dengan menggunapakai kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti disediakan PBB," katanya.

Media Baharu