PUTRAJAYA, 13 November- Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil maklum terhadap isu membabitkan majikan yang tidak membayar gaji kepada pekerja.
Menterinya V. Sivakumar berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mengambil tindakan tegas, selain memastikan Malaysia bebas daripada amalan buruh paksa.
"Saya tidak menafikan tidak ada kes tetapi kementerian sentiasa berwas-was dan sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang menyalahgunakan kuasa sebagai majikan untuk mendiskriminasi mana-mana pekerja terutama dari segi amalan buruh paksa," katanya pada sidang media Majlis Ramah Mesra Deepavali 2023 KSM di sini.
Tambah beliau, kerajaan juga tidak akan memberi "muka" terhadap mana-mana majikan yang mengabaikan pekerja mereka.
"Perkara ini bukan pertama kali kita sebut, kita sebut berulang kali. Kalau ada juga majikan mengabaikan dan cuai serta tidak mahu berhati-hati dalam isu ini, maka tindakan tegas akan diambil.
"Saya tidak akan memberi pertimbangan dan saya akan memastikan pihak JTK akan mengheret mereka ke mahkamah," tambahnya.
Terdahulu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono menyatakan isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.
Kira-kira 90 peratus aduan diterima Kedutaan Indonesia berkaitan pekerja domestik menunjukkan trend membimbangkan, antaranya tidak dibayar gaji bulanan.