fb fb fb fb fb

KKM hantar pasukan perubatan ke Gaza sebaik dibenarkan

Rakyat Palestin menerima rawatan di hospital di Khan Younis, Semenanjung Gaza/FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 13 November - Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Bagaimanapun, penghantaran pasukan perubatan belum dapat dilaksanakan kerana belum dibenarkan selain mengambil kira keadaan semasa peperangan yang masih berlaku.

“KKM bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan yang boleh dimobilisasikan sebaik sahaja kebenaran diberikan.

"Pasukan perubatan ini juga akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

KKM menjelaskan, penghantaran pasukan itu akan dibuat menerusi kerjasama kementerian Luar Negeri dan agensi awam lain serta koordinasi oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Susulan itu, atas semangat solidariti terhadap rakyat Palestin, KKM telah mengambil langkah menyediakan bantuan kemudahan perubatan untuk dihantar ke Semenanjung Gaza.

"KKM sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku di Semenanjung Gaza serta telah mengenal pasti keperluan bantuan kemanusiaan dan perubatan yang diperlukan.

“Menerusi maklumat disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, daripada sejumlah 35 buah hospital terdapat di Semenanjung Gaza, satu per tiga telah musnah.

“Sehubungan itu, perlu ada usaha untuk memulih dan menambah baik kemudahan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital yang masih beroperasi.

“Penambahan kemudahan itu bertujuan menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak dan sangat diperlukan oleh rakyat di Gaza buat masa ini,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, KKM turut menghantar bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia sebanyak 20 tan pada 3 November lalu.

Manakala penerbangan kedua sebanyak 20 tan dihantar pada 11 November.

"KKM akan menghantar alat guna habis consumables dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan ketiga dalam tempoh yang terdekat," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN