fb fb fb fb fb

Kerajaan Terengganu masih tunggu laporan nilai kerosakan dan kerugian akibat banjir

KEMAMAN, 6 Mac– Kerajaan Terengganu sedang menunggu laporan nilai kerosakan serta kerugian harta benda penduduk dan harta awam susulan kejadian banjir buruk yang melanda negeri itu beberapa hari lalu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat menjangkakan jumlah nilai kerosakan keseluruhan.

Menurut Datuk Dr. Ahmad Samsuri, agensi-agensi kerajaan negeri kini sedang mengumpul data daripada pihak-pihak berkenaan sebelum membuat anggaran jumlah nilai kerosakan termasuk jumlah keseluruhan penduduk yang terjejas banjir.

Katanya, agensi-agensi terbabit memerlukan sedikit masa bagi mendapatkan maklumat dan data daripada kesemua penduduk terbabit kerana banjir baharu sahaja selesai.

"Kerugian belum lagi, saya masih lagi menunggu sebab ia membabitkan berbagai perkara, sebenarnya bukan sekadar mangsa tetapi juga infrastruktur dan sebagainya yang ambil masa sedikit untuk membuat penilaian,"kata Dr. Ahmad.

Datuk Dr. Ahmad Samsuri berkata, agensi-agensi terbabit juga akan turut membuat penilaian untuk mengetahui setiap infrastruktur awam yang rosak dalam bencana berkenaan.

Tambahnya lagi, pelbagai perkara perlu diambil kira sebelum kerajaan negeri memutuskan melakukan penilaian taksiran atau jumlah sebenar kerosakan serta kos bagi membaik pulih.

Datuk Dr. Ahmad Samsuri berkata demikian selepas melancarkan KTIP di Kijal, Kemaman hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed.

Dalam kejadian banjir baru-baru ini beberapa daerah turut terjejas dengan menyaksikan lebih 17,000 penduduk daripaad 4,568 keluarga telah dipindahkan ke 140 pusat pemindahan sementara.

Antara daerah yang paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut dan Kuala Nerus menyebabkan banyak harta benda penduduk dan awam musnah.

 

(Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ditemui media selepas melancarkan KTIP di Kijal, Kemaman)

Media Baharu