fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti peruntukan dibentang Sarawak dalam RMK13

Rafizi Ramli ditemui media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 di Kuching

KUCHING, 30 Oktober- Kerajaan akan meneliti secara terperinci peruntukan yang dibentangkan Sarawak dalam Rancangan Malaysia ke-13.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata dengan jumlah inisiatif dan projek yang diperlukan negeri itu, pihaknya akan mengambil kira strategi ekonomi dan bagaimana ia dapat diimbangkan secara berfasa.

"Berdasarkan kemampuan dan matlamat ekonomi negara, apabila kita tahu jumlah dan itu juga akan membantu kita memfasakan peruntukan dan perlaksanaan berdasarkan mengikut keutamaan dan adil kepada semua negeri termasuk Sarawak," katanya.

Jelas Rafizi, walaupun jumlah yang dibentangkan Sarawak hampir mencecah RM100 billion, ia meliputi kos perlaksanaan dalam tempoh lima tahun.

Selain Sarawak, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan tiga negeri lain termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Rafizi ditemui media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 di Kuching.

Dalam teks ucapan Premier Sarawak, yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan Sarawak memerlukan hampir RM100 billion bagi menjana RMK13 di negeri itu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Rafizi memaklumkan kerajaan memberi tumpuan kepada empat negeri bagi pelaksanaan inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon, CCUS.

Katanya, inisiatif tersebut akan dibentang di Parlimen bulan depan dan negeri yang terlibat ialah Sarawak, Sabah, Terengganu dan Pahang.

Jelasnya lagi, sesi libat urus telah dilaksana di tiga negeri dan kali ini di Sarawak bagi mengharmonikan rang undang-undang yang akan dibentangkan kelak.

"Dalam konteks Sarawak ini, perbincangan terarah kepada bagaimana kita hendak mengharmonikan dan selepas ini akan ada undang-uindang di peringkat negeri serta peringkat persekutuan," kata Rafizi.

Katanya, Sarawak kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi pemain utama dalam industri CCUS, bukan hanya di Malaysia malah di rantau ini.

CCUS dapat mewujudkan peluang pekerjaan di samping menjadikan negara menjadi peneraju kepada peralihan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE