BANGI, 17 September- Kerajaan sentiasa menyokong usaha dan inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bukan sahaja bagi menggalakkan perkembangan sektor sukan negara, tetapi menyediakan platform kompetitif bertaraf tinggi kepada atlet negara.
"Itulah komitmen Kerajaan kepada arena sukan negara dan saya menyeru semua pihak, bermula dengan atlet-atlet muda yang bersaing di temasya Sukan Malaysia kali ini, untuk memanfaatkan setiap peluang yang menanti, demi kemajuan sukan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini malam ini.
Ismail Sabri juga mahu pentas Sukma kali ini dijadikan arena membuktikan kejaguhan, supaya yang terbaik diangkat membawa cabaran negara di Sukan SEA Kemboja tahun hadapan, sebagai aturan langkah pertama mencetus kehebatan di peringkat tertinggi.
"Cerita kehebatan sebegitu mahu kita teruskan, kerana menanti tahun hadapan juga temasya Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik untuk mengejar impian, emas sulung pada temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 nanti," tambahnya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan negara melalui pelbagai program serta penyediaan peruntukan dan menyeru semua atlet agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang masing-masing untuk mengharumkan nama negara.
"Sokongan padu kepada Program Podium untuk merealisasikan kilauan emas Olimpik itu sudah ditunaikan dengan peruntukan kewangan berjumlah RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada semua Kerajaan negeri dan persatuan-persatuan sukan kerana memupuk serta mencambahkan perpaduan menerusi sukan.
"Kita ketepikan sebarang perbezaan, tidak kira apa sekalipun, untuk bersatu hati meletakkan kejayaan bersama sebagai tonggak kepada Keluarga Malaysia.
"Selamat berjuang dengan penuh semangat kesukanan. Manfaatkan peluang ini untuk memupuk semangat setiakawan sesama kita demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.
Sukma ke-20 MSN 2022 yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 24 September ini menyaksikan 15 kontinjen termasuk Brunei mengambil bahagian dengan 426 acara dipertandingkan.