fb fb fb fb fb

Bajet 2023: MOSTI harap peruntukan lebih komersilkan R&D

KOTA TINGGI, 18 September - Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap memperoleh peruntukan yang lebih banyak untuk pengkomersialan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memacu syarikat pemula pada Bajet 2023.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya juga telah mengajukan pendekatan itu menerusi satu sesi konsultasi dengan Kementerian Kewangan pada 31 Ogos lepas.

"Malaysia perlu beralih kepada negara pembuat seiring dengan kemajuan teknologi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Jadi, saya telah pun membangkitkan isu berkenaan syarikat pemula yang baharu memulakan perniagaan dalam bidang teknologi supaya diberi ruang tahun depan untuk mereka terus maju supaya tidak kecundang di tengah konsep R&D mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Merdeka @ Parlimen Tenggara di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan kementeriannya untuk Bajet 2023.

Beliau pada masa sama beliau yakin, usaha itu dapat membantu para penyelidik dan pembangun R&D mendapat tempat untuk meneruskan kegiatan dan mengkomersialkan produk sekali gus menembusi pasaran antarabangsa.

Bajet 2023 dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober depan.

Media Baharu