fb fb fb fb fb

195 penduduk terjejas banjir di Batu Pahat masih di PPS

BATU PAHAT, 18 September- Seramai 195 penduduk terjejas daripada 49 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading, setakat 4.00 petang ini.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, angka tersebut menunjukkan trend penurunan berbanding semalam yang merekodkan lebih 220 penduduk terjejas.

Sementara itu, tiga rumah yang diduduki lima penghuni di Kampung Parit Pulai, Tangkak dinaiki air akibat hujan lebat pagi tadi.


(Penduduk terjejas banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara
SMK Seri Gading, Batu Pahat)

Angkatan Pertahanan Awam turut memantau paras air di Kampung Kolam Air, Simpang Renggam, Kluang, selepas kawasan berkenaan dilanda hujan melebihi dua jam. Bagaimanapun keadaan ketika ini masih terkawal.

Sementara itu, pemantauan banjir di kawasan Marudi, Sarawak yang dilanda banjir sejak seminggu lalu, kini semakin pulih.

Pemantauan pasukan Bomba Dan Penyelamat mendapati sepanjang jalan utama yang menghubungkan kawasan kampung telah dapat dilalui kenderaan.

Namun begitu, di kawasan rendah masih berlaku takungan air tetapi terkawal sepenuhnya. Paras air sungai juga beransur surut.

Media Baharu