KUALA LUMPUR, 8 Julai -Seramai 2,248 pegawai perubatan kontrak Gred UD10 berjaya ditempatkan mengikut keutamaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pegawai yang tidak berjaya atau ingin membuat rayuan pertukaran, permohonan boleh dikemukakan.
"Setiap rayuan yang lengkap dan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan akan dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran (JKPP) berdasarkan dokumen sokongan dan keperluan perkhidmatan," menurut kenyataan itu.
Tempoh rayuan dibuka pada 8 hingga 14 Julai manakala keputusan akan diumumkan pada 19 Ogos depan.
"Prinsip saya jelas. Proses ini mesti dijalankan dengan penuh ketelusan dalam setiap pemilihan dan penempatan, keadilan kepada semua calon, dan yang paling penting mengambil kira realiti kehidupan serta tekanan yang dihadapi oleh para petugas kesihatan kita.
"Saya amat menghargai kesabaran dan kepercayaan anda semua. Terima kasih kerana terus bersama kami dalam membina sistem kesihatan yang lebih baik, lebih adil, dan lebih manusiawi untuk semua," tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengambil langkah penambahbaikan susulan sistem ePlacement penempatan pegawai perubatan kontrak menerima teguran sebelum ini.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly memaklumkan penambahbaikan itu dapat memberi keadilan kepada semua calon, selain mengambil kira realiti kehidupan serta tekanan yang dihadapi para petugas kesihatan.
"Isu penempatan pegawai perubatan kontrak bukanlah isu kecil. Ia bukan sekadar soal logistik atau pengurusan sumber manusia, tetapi menyentuh secara langsung emosi, kehidupan keluarga, dan masa depan ramai insan bergelar doktor yang telah berkorban besar demi sistem kesihatan negara.
"Saya mengambil maklum bahawa sistem ePlacement sebelum ini menerima banyak teguran.
"Penggunaan algoritma pemadanan berasaskan merit bagi mengurangkan campur tangan manual dan meningkatkan ketelusan proses," menurut hantaran itu.
Antaranya isu berbangkit termasuk penempatan tidak mengikut pilihan calon, proses rayuan kurang jelas, dan keputusan lewat dimaklumkan.