KUANTAN, 8 Julai -Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Bandar Indera Mahkota, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.21 malam.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota tiba di lokasi pukul 8.36 malam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan kekuatan enam anggota bomba serta 15 anggota polis," katanya.
Setakat pukul 10 malam tadi, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, masih belum ditemukan.
Manakala tiga lagi rakannya dilaporkan selamat.