KUALA LUMPUR, 8 Julai -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 8,322 kenderaan buatan Kia, Yamaha dan Mercedes-Benz.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan memaklumkan pemanggilan semula itu untuk tujuan pemeriksaan susulan kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem.
Kenderaan Kia yang terlibat terdiri daripada 5,123 unit model Rio UB keluaran 2010 hingga 2017, yang disyaki berisiko mengalami litar pintas elektrik sehingga boleh menyebabkan kebakaran pada papan litar Hydraulic Electronic Control Unit (HECU).
Bagi kenderaan Yamaha, sebanyak 1,649 motosikal model MT09 dan 1,369 unit Tracer 9 GT keluaran November 2021 hingga Februari 2025 dipanggil semula kerana Throttle Position Sensor (TPS) tidak berfungsi dengan baik, manakala 149 unit model Tenere 700 keluaran 2023 hingga 2024 terlibat kerana masalah operasi klac.
Sebanyak 32 kenderaan Mercedes-Benz model S 580 e, GLC 300 4MATIC, EQS 500, AMG SL 43, EQE 53 dan EQS 53 keluaran 2023 hingga 2025 turut dipanggil semula kerana kotak fius tidak dipasang dengan betul.
Menerusi kenyataan itu, pemilik kenderaan terlibat akan dihubungi pengeluar kenderaan masing-masing untuk penyelarasan slot pemeriksaan.
“Oleh itu, semua pemilik model yang terlibat diminta merancang lebih awal bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan dijalankan secepat mungkin.
"Untuk maklumat lanjut, pemilik boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pusat jualan dan perkhidmatan terdekat," menurut kenyataan itu.
Aedy Fadly berkata semua komponen terlibat akan diganti dengan kos ditanggung sepenuhnya pihak pengeluar.
JPJ juga akan memantau pelaksanaan proses tersebut selain komited memastikan semua unit kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.