fb fb fb fb fb

Pemuda BN perlu kuasai 'peperangan maya', tangkis fitnah, pembohongan - Ismail Sabri

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 17 September- Pemuda BN perlu menguasai 'peperangan maya' di media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini penting bagi menangkis fitnah dan pembohongan dilakukan pembangkang yang bertujuan melemahkan kerajaan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, kelemahan parti sebelum pilihan raya lalu yang membawa kepada kekalahan adalah BN tidak mampu menjawab isu besar yang dimainkan oleh mereka.

"Pada kali ini mereka terus memainkan fitnah yang memfitnah pemimpin kita, yang memfitnah BN, yang memfitnah kerajaan.

"Dan jika kita gagal menjawab seperti sebelum PRU ke-14, kita akan menerima padah dan kesannya adalah besar sekali.

"Sebab itu saya mahu pemimpin-pemimpin kita terutamanya pemuda menjadikan peperangan maya ini peperangan kita pada hari ini dan pemuda mesti menguasai peperangan maya dan memenangi peperangan maya yang sedang berlaku pada hari ini," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN, di sini hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada
Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional hari ini/Foto BERNAMA)

Ismail Sabri turut menyarankan Pemuda BN meningkatkan lagi pembabitkan dengan golongan muda di seluruh negara.

Ini dalam usaha menarik sokongan golongan terbabit.

Beliau memaklumkan, daripada 22.7 juta pengundi yang berdaftar ketika ini, empat juta daripadanya adalah pengundi muda berusia 21 tahun ke bawah.

"Sebab itulah saya menyeru, gunakan kelebihan ini untuk kita berkempen kepada golongan muda...kerajaan sudah umumkan sebagai contoh PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang kita berikan percuma kepada mahasiswa B40...ini mendapat reaksi yang positif daripada mahasiswa.

"Kitalah sepatutnya dalam kalangan pemuda BN untuk terus menggunakan kesempatan ini, menarik sokongan golongan mahasiswa yang nanti akan menjadi pengundi atau pengundi baharu yang berjumlah sebahagian empat juta tersebut," jelasnya.

Media Baharu