fb fb fb fb fb

'Terima kasih Keluarga Malaysia ku...' - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 September - Kehadiran Keluarga Malaysia yang membanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka malam tadi bukti rakyat menjiwai semangat patriotisme yang sangat tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan amat meriah dan menjadi manifestasi kebangkitan negara setelah bergelut dengan pelbagai cabaran pada tahun-tahun sebelumnya.

"Saya amat terharu dengan kehadiran luar biasa Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, agama, budaya dan usia pada malam tadi.

"Sesungguhnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran yang berwarna warni.

"Sebagai tanah yang pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan," katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini.

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menaiki
beca ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2022
Peringkat Kebangsaan di Bandar Hilir, Melaka malam tadi/FOTO Facebook Ismail Sabri)

Menurutnya, sambutan pada malam tadi sungguh bermakna selain mengimbau kembali detik-detik laungan kemerdekaan oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahmad Putra Al-Haj.

Buat julung kalinya sambutan Hari Malaysia diadakan di Semenanjung dan memilih Melaka menjadi tuan rumah yang dihadiri lebih 50, 000 pengunjung.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran Hari Malaysia yang penuh gilang-gemilang itu.

"Terima kasih Keluarga Malaysia ku...", ucapnya.

Media Baharu