PUTRAJAYA, 14 Februari – Kerajaan bersetuju untuk meneliti dan menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan undang-undang sedia ada.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil menjelaskan langkah itu dibuat susulan pengumuman pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), semalam.
"Hari ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri sudah meminta supaya Akta SOSMA diteliti dan disemak semula. Jadi, Insya-Allah dalam minggu ini, Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri akan tampil ke Parlimen untuk memberi kenyataan mengenai perkara tersebut," katanya dalam sidang media mingguan, di sini.
Menurut Fahmi, secara prinsipnya, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menambah baik atau menyemak semula beberapa perkara dalam pindaan SOSMA yang akan dibentangkan kelak.