fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju pinda perlembagaan libatkan perakuan pelantikan hakim oleh TYT Sabah, Sarawak

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 12 September -Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengangkat kertas Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak memperakukan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini dan pindaan perlembagaan akan dilaksana.

"Apa-apa pelantikan hakim pada masa ini perlu mendapat nasihat daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak dan TYT Sabah. Proses ini semestinya melibatkan libat urus (engagement) bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Cadangan nama akan dikemukakan, dipersetujui, dan disusuli dengan perundingan yang sewajarnya," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, selepas perbincangan yang melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak, nama yang dipersetujui akan diangkat dan melalui proses yang sepatutnya.

Ujar beliau sebarang pelantikan kehakiman akan melalui jawatankuasa lantikan kehakiman.Jawatankuasa pelantikan kehakiman akan memberi cadangan dan cadangan itu akan diangkat untuk negeri Sarawak dan Sabah melalui proses perbincangan melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak.

Sebarang perkara yang telah dipersetujui akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk penelitian dan keputusan selanjutnya.

TETITIA YUSOFF