PUTRAJAYA, 12 September – Bayaran sewa kediaman sementara bagi penduduk Kampung Sungai Baru ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek perumahan baharu siap dibina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, majoriti penduduk kini menyewa di Residensi Sungai Udang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
“Sehingga rumah gantian siap dibina, mereka tidak perlu menanggung kos sewa kerana ia ditanggung pemaju.
"Apa yang merisaukan saya ialah proses ini mengambil masa yang lama. Ada antara penduduk telah meninggal dunia, dan kini diwarisi oleh ahli keluarga.
"Sebab itu saya bersungguh-sungguh memastikan hak mereka dikembalikan,” katanya pada sidang media khas berhubung isu Kampung Sungai Baru di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Dr Khairul Nizam Othman berkata, bayaran sewa kediaman sementara tersebut termasuk dalam nilai pampasan yang diberikan kepada penduduk.
Setakat ini, katanya, sebanyak RM62.57 juta pampasan telah disalurkan kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula itu.
“Jumlah pampasan ini ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan mengikut Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.
"Ia merangkumi antaranya pampasan unit gantian kediaman, kos pemindahan masuk semula ke unit gantian, bayaran ex-gratia untuk ubah suai rumah sedia ada serta bayaran lebihan tunai bagi pemilik rumah teres," katanya.
BERITA BERKAITAN:
- Tiada kompromi pihak politikkan isu Kampung Sungai Baru
- Insiden Kampung Sungai Baru, video ugutan: KEADILAN buat laporan polis
- Orang ramai tidak setuju dengan kekecohan Kampung Sungai Baru
- Pembangunan semula Kampung Sungai Baru dapat sokongan majoriti penduduk
- OCPD Dang Wangi cedera dibaling batu di Kampung Sungai Baru
- Tiga individu ditahan ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru