fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju laksana syarat VOP, tangani masalah projek lambat siap

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan syarat bagi perubahan harga (VOP) dalam kontrak kerja sebagai langkah proaktif bagi menangani masalah projek lambat siap yang disebabkan oleh kenaikan kos harga barang binaan.

Jelas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, pelaksanaan syarat VOP dalam kontrak kerja adalah untuk memastikan projek kerajaan tidak terjejas dan dapat disiapkan mengikut jadual. 

"Merujuk kepada Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK2.4 - Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (Variation Of Price – VOP) dalam Kontrak Kerja (Pindaan pada 1 Mei 2022), syarat dan kaedah pengiraan VOP dalam kontrak kerja ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2022. Senarai bahan binaan yang termasuk dalam pekeliling ini ialah Besi Bertetulang, Crushed Aggregate (Crusher Run), Mild Steel Pipe (Paip Air dan Paip Pembentung) dan Copper," kata beliau ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat, hari ini.


(Foto fail)

Tambahnya lagi, bagi meringankan lagi bebanan pemain industri binaan, Perdana Menteri pada 14 Julai 2022 telah mengumumkan kelulusan penambahan 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan syarat VOP yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 bahan binaan yang telah diluluskan.

Sehingga 30 Jun lalu, terdapat 84 bilangan projek telah dikategorikan sebagai projek lewat jadual berbanding daripada jumlah 696 bilangan projek kerajaan dalam pembinaan secara keseluruhan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat kenaikan harga bahan binaan.

Media Baharu