fb fb fb fb fb

Kerajaan Selangor kenal pasti 700 PPS, siap siaga risiko banjir

SHAH ALAM, 17 Oktober- Kerajaan negeri Selangor mengenal pasti kira-kira 700 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan berisiko banjir seluruh Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail, jumlah itu membabitkan PPS kekal dan juga yang baru ditambah bergantung kepada lokasi.

Katanya, kerajaan negeri Selangor juga sudah menyediakan dan menghantar keperluan berkaitan banjir ke lokasi yang dikenal pasti itu.

"Kalau dulu, masalah kita adalah semuanya berpusat di Sungai Buloh namun kini tidak lagi. Kita telah agihkan semua barangan keperluan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang penting dan besar di setiap daerah," kata Rodziah dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 (MUF2022) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


(Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan,
Rodziah Ismail ditemui pada Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 (MUF2022), hari ini)

Persidangan bertemakan Tindakan Tempatan Kepada Bandar dan Komuniti Berdaya Tahan Masa Hadapan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han.

Media Baharu