(Foto Hiasan)
KUANTAN, 29 Oktober- Kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyaluran subsidi sebanyak itu antara yang terbesar dalam sejarah negara.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM41.7 bilion adalah subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Subsidi itu turut merangkumi minyak masak paket satu kilogram dan minyak botol berjumlah RM3 bilion dan subsidi bil elektrik pula sebanyak RM5.8 bilion.
Ia turut merangkumi bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain berjumlah RM1.5 bilion.
"Negara mengharungi tempoh sukar sejak kebelakangan ini. Bermula dengan pandemik COVID-19, dan kini berhadapan pula dengan krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.
"Namun, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus Kerajaan membolehkan kita keluar daripada kemelut ini dan terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.
Katanya, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.
Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.
Kadar pengangguran pada bulan Ogos lalu iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi #Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan,Pahang.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi #Keluarga Malaysia
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang)