MELAKA, 29 Oktober - Penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka (Majlis TVET Melaka) akan memperkasakan dan meningkatkan kualiti bidang berkenaan di negeri itu sekali gus menjadi pemangkin dalam memacu pembangunan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pelbagai strategi dirancang kerajaan negeri menerusi Majlis TVET Melaka yang dianggotai 22 institusi bagi memperkukuh penawaran program berorientasikan industri selain memperhebat penglibatan industri secara aktif untuk menyediakan siswazah yang menepati keperluan industri.
"TVET sering kali disalah anggap sebagai pendidikan kelas kedua dan hanya untuk mereka yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik tetapi di negara-negara maju, pelajar-pelajarnya sudah mula menguasai bidang ini.
"Negara maju seperti Jerman dan Korea Selatan yang menjadi antara kuasa besar ekonomi dunia juga hasil daripada pengukuhan bidang pendidikannya termasuk TVET. Oleh itu, dengan menjadikan negara berkenaan sebagai contoh, ia amat signifikan dengan penubuhan Majlis TVET Melaka ini," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini.
(FOTO HIASAN)
Terdahulu beliau melancarkan Majlis TVET Melaka dan merasmikan Karnival TVET Melaka 2022 yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin.
Sulaiman berkata penubuhan Majlis TVET Melaka juga akan dapat mempromosi institusi kemahiran di negeri itu di samping mewujudkan pangkalan data bagi memastikan tadbir urusnya di Melaka lebih sistematik.
"Seperti kita sedia maklum, menerusi Bajet 2023 yang dibentang pada 7 Oktober lepas, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM6.7 bilion di bawah tujuh kementerian bagi melaksanakan pelbagai inisiatif TVET untuk memperkasa bidang itu dalam melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran seterusnya berupaya mencipta kerjaya sendiri atau menjadi rebutan majikan.
"Bidang TVET juga telah dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), jadi sudah sampai masanya, bidang TVET menjadi antara pilihan golongan belia untuk melanjutkan pendidikan sekali gus mempersiapkan diri untuk menceburi kerjaya baharu pada masa hadapan,” katanya. - BERNAMA