fb fb fb fb fb

Tampilkan lebih ramai calon wanita dalam PRU15

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Usaha memperkasakan wanita perlu diterjemahkan menerusi pencalonan lebih ramai pemimpin wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata langkah itu ke arah merealisasikan matlamat 30 peratus kepimpinan wanita dalam urus tadbir negara.

Sekali gus, merubah landskap politik negara selain memastikan suara wanita diberi perhatian khusus di Parlimen.

"Sebenarnya wanita ini bukan nak tanggungjawab lelaki tetapi wanita ini nak suara mereka didengari dan nak didengari itu, perlulah ada pemimpin wanita dalam Dewan Rakyat.

"Tapi malangnya kita masih tak capai tahap minimum 30 peratus wanita dalam Dewan Rakyat. Jadi dalam PRU akan datang kita perlu ubah dan melantik lebih ramai wanita sebagai pemimpin," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam rancangan terbitan RTM di Angkasapuri.

(Wan Azliana Wan Adnan)

Menurut Wan Azliana, selain isu wanita, pelbagai isu lain berkaitan wanita, keluarga dan kemasyarakatan boleh diketengahkan serta diperjuangkan.

Antaranya, isu buli melibatkan wanita dan kanak-kanak termasuk keganasan rumah tangga dan kes buli di sektor pekerjaan.

Pihak ASWA sendiri katanya, kini giat memperjuangkan isu penggubalan akta bagi menangani isu buli di negara ini.

"Banyak penambahbaikan yang kita boleh buat...contohnya di ASWA sendiri, kita memang menggerakkan isu-isu wanita dan kanak-kanak.

"Kita tidak hanya fokus pada wanita, kalau kita kata wanita, di belakangnya ialah siapa? anak-anak...jadi isu ini bersama.

"Sebenarnya buli ini bukan hanya berlaku di sekolah, malah ia juga berlaku di tempat kerja dan rumah. Keganasan rumah tangga itu adalah satu bentuk buli. Jadi, jika kita faham apa itu buli...barulah kita tahu macam mana nak mendapatkan hak kita," tambahnya.

Beliau turut menjelaskan betapa pentingnya suara wanita didengar terutama dalam memperjuangkan isu wanita dan kekeluargaan, sesuai dengan sifat wanita yang serba boleh.

Kepentingan itu mencakupi kecaknaan terhadap keperluan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) yang dapat memberi kesaksamaan serta tidak mendiskriminasikan hak wanita secara keseluruhan.

Media Baharu