fb fb fb fb fb

Malaysia-Indonesia perluas kerjasama pendidikan dan kemanusiaan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid (kiri) bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kanan) / Foto BERNAMA

JAKARTA, 22 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sepakat untuk memperluaskan pasaran pendidikan teknikal, kejuruteraan dan profesional Malaysia melalui kerjasama pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut merakamkan penghargaan kepada Education Malaysia Global Services (EMGS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta beberapa institusi lain yang giat mempromosikan program pengajian teknikal dan profesional di Malaysia.

"Kita berterima kasih kepada EMGS, UniKL dan beberapa institusi pendidikan tinggi yang lain yang mempromosikan peluang pembelajaran dalam bidang-bidang profesional, teknikal serta kejuruteraan di universiti-universiti di Malaysia.Terutamanya enam buah universiti yang dikategorikan di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN).

"Saya turut memaklumkan kepada Presiden dan Naib Presiden Indonesia tentang usaha Malaysia untuk menarik lebih ramai pelajar dari Indonesia melanjutkan pengajian di negara ini."

Sebelum ini, Presiden dan Naib Presiden Indonesia turut dimaklumkan mengenai usaha Malaysia yang berterusan untuk menarik pelajar Indonesia, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau.

Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia terus menyatakan pendirian tegas terhadap isu kemanusiaan di Gaza. 

Pada pertemuan dengan Presiden Prabowo, kedua-dua pemimpin bersetuju menggesa genjatan senjata kekal serta menyokong bantuan kemanusiaan berterusan kepada rakyat Palestin.

"Sekali lagi, sokongan telah diberikan oleh Presiden Indonesia terhadap usaha bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata secara kekal, yang memerlukan pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa.

"Kita juga bersama-sama menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan bahawa gencatan senjata secara berkekalan dapat dilaksanakan", jelasnya.

Kedua-dua negara menyeru masyarakat antarabangsa  memastikan genjatan senjata berkekalan dapat dilaksanakan selain membolehkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin digerakkan oleh negara-negara sahabat termasuk Malaysia, Indonesia, Jepun serta komuniti global.

Sementara itu, Zahidberpuas hati dengan lawatan ke Indonesia.

Menurutnya, lawatan itu telah membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor.

“Kita mengharapkan agar akan ada tindakan susulan daripada Wisma Putra dan juga Kementerian Luar Indonesia, selain kementerian serta jabatan yang berkaitan.

"Keseluruhan koordinasi ini akan dilakukan menerusi laporan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Luar,” katanya.

Lawatan tersebut turut melibatkan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan beberapa pegawai kanan kerajaan, bagi membincangkan pendekatan bersama dalam isu industri halal, pendidikan, maritim dan kemanusiaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD