(Muhammad Hawari Hashim (kotak),Gunung Everest/AFP)
KUALA LUMPUR, 24 Mei- Kerajaan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi misi pencarian pendaki Malaysia yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest.
Bantuan itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Nagulendran Kangayatkarasu di Parlimen, hari ini.
Kangayatkarasu berkata, usaha pencarian dan mengesan Muhammad Hawari, 33, semakin suntuk berikutan Kerajaan Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei atas faktor keselamatan.
"Kita perlu cepat sebab semua orang perlu turun dari Everest pada 28 Mei ini sebab bermula 29 Mei gunung berkenaan akan ditutup.
"Bantuan kewangan dari Kementerian Kewangan disalurkan kepada kami (KBS) dan kami akan bekerjasama dengan kelab. Ia juga sudah tentu akan dibantu oleh pihak Wisma Putra," katanya di sini.
Pada Jumaat lalu, Muhammad Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu, manakala seorang lagi disahkan maut iaitu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob.
(Muhammad Hawari Hashim/FB Hawari Warie)
Artikel berkaitan:
Wisma Putra sahkan kematian dan kehilangan pendaki Gunung Everest
Pengarah APM Kedah meninggal dunia di Everest
Jenazah Awang Askandar dibawa turun guna helikopter ke Kathmandu hari ini
Insiden ragut nyawa pendaki negara di Everest satu iktibar