
BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi tujuan penyelenggaraan fasiliti di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tuanku Bainun di sini.
- Peruntukan akan disalurkan segera bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
- Pengarah tidak meminta sebarang bantuan apabila ditanya Perdana Menteri.
- Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri akan memantau dan menyelaras penyelenggaraan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan berkenaan akan disalurkan segera bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
“Saya bertanya kepada pengarah sama ada memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan tetapi dia tidak jawab. Dia tak minta pun, saya yang bertanya. Tidak mengapa.
“Justeru, kita salurkan RM200,000 untuk tindakan segera bagi menyelenggara apa-apa yang kurang di IPG ini,” katanya.
Jelasnya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan memantau dan menyelaras peruntukan serta kerja-kerja penyelenggaran berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di IPG Kampus Tuanku Bainun di sini.