
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti punca permasalahan dan kelemahan yang berlaku bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
- Tidak sesuai menafikan dapatan RCI tanpa hujah lengkap kerana ia mengaburi gambaran menyeluruh isu.
- Penilaian mesti mengambil kira kecekapan penggunaan dana awam dan wang simpanan pendeposit untuk pelaburan.
- Perlu semak kaedah perakaunan dan penilaian aset supaya pembayaran hibah berasaskan keuntungan sebenar.
- Penilaian menyeluruh dan berintegriti penting untuk kenal pasti kelemahan serta lindungi kepentingan pendeposit.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, sebarang usaha menafikan dapatan RCI hanya berdasarkan perspektif tertentu tanpa mengemukakan hujah yang dapat menjelaskan permasalahan sebenar tidak akan memberikan gambaran menyeluruh mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, penilaian terhadap isu pengurusan TH juga perlu mengambil kira aspek kecekapan dalam penggunaan dana awam serta wang simpanan pendeposit bagi tujuan pelaburan.
“Pada masa yang sama, apabila melihat kepada permasalahan yang berlaku di Tabung Haji, sudut pandang itu juga perlu mengambil kira aspek kecekapan penggunaan dana awam ataupun duit tabungan orang ramai bagi tujuan pelaburan.
“Sebab itu, penilaian tersebut juga perlu melihat sejauh mana penggunaan dana itu memenuhi prinsip berhemat bagi memastikan keselamatan serta integriti simpanan rakyat terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026, baru-baru ini.
Akmal Nasrullah berkata demikian ketika mengulas polemik berhubung dapatan RCI terhadap TH, termasuk perbezaan pandangan mengenai kaedah penilaian aset yang digunakan.
Tambah beliau, antara persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah berkaitan pembayaran hibah kepada pendeposit, khususnya sekiranya pembayaran itu tidak bersandarkan kepada keuntungan sebenar hasil pelaburan.
Menurutnya, perkara itu perlu dinilai secara menyeluruh dan berintegriti, termasuk melihat sejauh mana kaedah perakaunan yang digunakan benar-benar mencerminkan kedudukan kewangan serta keuntungan sebenar institusi berkenaan.
Penilaian yang teliti terhadap keseluruhan isu itu penting bagi memastikan kelemahan dikenal pasti dan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan demi melindungi kepentingan pendeposit serta menjamin integriti pengurusan institusi tersebut pada masa hadapan.