SEREMBAN, 26 November- Kementerian Pertahanan akan meneliti keperluan menambah anggota atau kelengkapan keselamatan bagi memperketat kawalan di kawasan sempadan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia sekali gus mengekang sindiket penyeludupan rentas negara.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan turut menyalurkan peruntukan besar bagi memperkasakan kawalan sempadan.
"Yang penting sekali kelengkapan anggota kita dalam mengawal sempadan, baik polis mahupun tentera.
"Kelengkapan itu penting. Jadi beberapa dron dalam proses perolehan untuk kita menggunakannya bagi mengawal sempadan negara.
"Penggunaan dron lebih efektif dan banyak juga aset diperlukan dalam menaik taraf pos kawalan di sempadan kita, sepanjang Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia di Kalimantan.
"Ini sedang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan kita harap kawalan sempadan ini akan dapat dipertingkatkan," kata Mohamad kepada pemberita di sini.