fb fb fb fb fb

Banjir : Enam sekolah masih ditutup

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 26 November - Hanya enam sekolah sahaja masih ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara PPS di Terengganu hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sektor Pengurusan Sekolah Azman Othman @ Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dua sekolah ialah di Kuala Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan SK Gong Tok Nasek dan SK Atas Tol.

Dua buah sekolah lagi ialah di Marang iaitu SK Simpang Rawai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang.

Sementara di Besut, sekolah yang ditutup ialah SK Kuala Besut dan SK Tok Kah di daerah Dungun.

"Kita beri kelonggaran kepada pelajar-pelajar yang ada masalah daripada segi pakaian seragam sekolah dan kasut sekolah basah boleh datang ke sekolah dengan memakai selipar", kata Azman di sini.

Minggu lalu, lebih 20 sekolah ditutup kerana ada yang dinaiki air dan sebahagiannya pula dijadikan PPS.

Mengulas lanjut, Azman berkata semua sekolah yang dijadikan PPS telah pun dibersihkan sebaik sahaja semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD