KUALA LUMPUR, 11 November- Kerajaan sedang mempertimbang penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga negara pada masa depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata ia sebahagian daripada usaha dalam mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"STI boleh memainkan peranan dalam menyediakan kepakaran melalui program latihan. Selain itu, Agensi Nuklear Malaysia mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran di dalam mengendali dan menyelenggara reaktor penyelidikan nuklear iaitu reaktor TRIGA PUSPATI selama lebih 40 tahun.
Ia boleh diaplikasikan ke dalam program tenaga nuklear sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang," kata Chang di dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, kemajuan teknologi telah menjadikan tenaga nuklear lebih sesuai untuk Malaysia dengan inovasi baharu.
Antaranya Reaktor Modular Kecil (SMR) yang membolehkan loji nuklear lebih kecil, selamat dan kos efektif.