fb fb fb fb fb

Kerajaan Persekutuan lulus projek RTB Sungai Jawi

JURU, 13 November- Susulan kejadian banjir yang sering melanda kawasan lembangan Sungai Jawi, kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jawi, di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Projek RTB tersebut diluluskan di bawah program Tebatan Banjir Secara Off-Budget, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Timbalan Menteri KASA, Datuk Mansor Othman berkata, projek RTB tersebut akan dimulakan pada awal tahun hadapan dan dijangka siap pada tahun 2030.

"Dijangka siap tahun 2030, jadi apabila siap projek RTB ni, ia akan memberi manfaat kepada 6,000 penduduk yang terlibat di kawasan ini dan 10 kampung yang terlibat.

"Maknanya penduduk yang terlibat dapat kita tangani dan dalam masa sama, kawasan yang terjejas dengan banjir, kawasan risiko ini dapat kita kurangkan. Itulah kita harap ianya dapat diselesaikan,"katanya.

Reka bentuk projek RTB ini adalah berdasarkan hasil kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran Mesra Alam bagi Daerah SPS yang disediakan oleh JPS pada 2017.

Makmal kajian nilai untuk RTB Sungai Jawi juga telah selesai pada September lalu.

Sebanyak 78.92 kilometer persegi kawasan terjejas banjir yang melibatkan Taman Sungai Duri Permai, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Kampung Sethu, Perkampungan Jawi, Kampung Titi Hitam, Kampung Surau, Jalan Persekutuan di Pekan Jawi dan Jalan Negeri di Changkat.

Projek itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 6,000 penduduk serta mengurangkan luas kawasan berisiko banjir daripada 7,892 hektar kepada 790 hektar sahaja apabila disiapkan pada 2030.

Beliau ditemui media ketika Dialog Tentang Isu Banjir di Perkampungan Juru.

Sementara itu, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Banjir Desa Puri, Seberang Perai Utara ditutup pada 4:00 petang tadi.

Mangsa terakhir meninggalkan PPS pada pukul 3:30 petang.


(Timbalan Menteri KASA, Datuk Mansor Othman)

Media Baharu