KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan di setiap negeri.
Selari dengan hasrat itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata pulangan hasil kutipan dari negeri dikembalikan menerusi mekanisme pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dan peruntukan tahunan berdasarkan belanjawan yang diluluskan.
“Pemberian ini disediakan secara geran tahunan dan disalurkan terus kepada kerajaan negeri masing-masing selaras dengan peruntukan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, keputusan Jemaah Menteri dan keputusan Majlis Kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow di Dewan Rakyat di sini mengenai sama ada Kerajaan Persekutuan akan berkongsi hasil kutipan cukai negeri dalam usaha menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial dilaksanakan di setiap negeri.
Tambah beliau, hasil diterima Kerajaan Persekutuan turut dikembalikan kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya.