PUTRAJAYA, 25 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk menyiapkan 10 instrumen subsidiari bagi memastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, instrumen berkenaan melibatkan aspek tatacara, pentadbiran serta mekanisme klasifikasi kemudaratan dalam talian, namun tempoh yang diperuntukkan ketika ini perlu dipendekkan.
"Ketika ini jenayah dalam talian masih berleluasa, antaranya penggunaan teknologi deepfake untuk menyamar individu lain. Sebagai contoh, wajah Profesor Jomo Kwame Sundaram telah disalahgunakan di laman Facebook walaupun akaun itu tiada kaitan dengan beliau," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2025 di sini.
Tambah Datuk Fahmi, sekiranya instrumen seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) diwujudkan, platform media sosial tidak boleh membenarkan kandungan berbentuk penyamaran atau deepfake disebarkan.