Kerajaan perluas akses bantu usahawan Bumiputera berkembang

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama pada Penggulungan Deklarasi Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035/ BERNAMA

ALOR SETAR, 27 Ogos – Kerajaan akan terus membuka ruang, membina ekosistem dan memperluas akses bagi membantu usahawan Bumiputera berkembang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyatukan ekosistem sokongan: hubungkan pembiayaan, latihan dan akses pasaran bagi kemudahan ekosistem keusahawanan Bumiputera.
  • Beralih dari melahirkan usahawan kepada membesarkan usahawan; fokus pada pemilikan, skala dan penguasaan nilai.
  • Segerakan pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian untuk memperkasakan usahawan secara berkesan.
  • Dorong usahawan Bumiputera menjadi pemilik, pencipta dan peneraju dalam AI, semikonduktor, ekonomi digital dan teknologi hijau menuju PuTERA35.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usahawan perlu berani membesar, bersaing dan mencipta nilai dengan melakukan anjakan daripada sekadar menyertai rantaian ekonomi kepada membina pemilikan, memperbesar skala perniagaan serta mencipta penguasaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu perlu disokong menerusi tiga anjakan besar dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera menuju 2035.

Katanya, anjakan tersebut ialah menyatukan ekosistem sokongan, beralih daripada melahirkan usahawan kepada membesarkan usahawan serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut memperkukuh syarikat tempatan.

“Sekarang masanya kita membina pemilikan, memperbesar skala dan mencipta penguasaan. Kerana akhirnya, percayalah.. kejayaan agenda Bumiputera bukan sekadar apabila lebih ramai berada dalam ekonomi, tetapi apabila lebih ramai mempunyai kekuatan untuk menentukan arah ekonomi negara ke mercu yang lebih tinggi.

“Begitu juga apabila kita bercakap tentang sektor high growth high value. Kita mungkin mempunyai syarikat Bumiputera sebagai vendor dalam industri semikonduktor. Tetapi berapa ramai yang memiliki teknologinya, membangunkan reka bentuknya, mempunyai harta inteleknya dan akhirnya menjadi peneraju dalam rantaian nilai tersebut?

“Di sinilah anjakan yang saya mahu kita lakukan. Jangan hanya berada di hujung rantaian nilai. Kita mesti bergerak ke bahagian yang mencipta nilai paling besar. Saya mahu kita think big. Usahawan bumiputera tidak boleh dilihat hanya daripada sudut berapa banyak perusahaan mikro yang berjaya diwujudkan.

“Kita mesti melihat berapa ramai yang mampu scale up, membina syarikat yang mempunyai skala, menembusi pasaran serantau dan global serta akhirnya menjadi peneraju pasaran”,katanya.

Katanya, terdahulu tujuh deklarasi yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Zulfikri Osman dalam memberi asas yang baik dan mesti menjadi pemangkin kepada tiga anjakan besar dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera menuju 2035.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Penggulungan Deklarasi Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035 di Alor Setar.

Beliau berkata ekosistem keusahawanan ketika ini masih berpecah-pecah, dengan pembiayaan, latihan dan akses pasaran bergerak melalui saluran berbeza.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata semua instrumen sokongan perlu dihubungkan bagi membolehkan usahawan bergerak dalam ekosistem yang lebih bersepadu dan berkesan.

Tegasnya, pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) pada setiap kementerian perlu disegerakan bagi memastikan usaha memperkasakan usahawan Bumiputera berfungsi dengan berkesan serta mencapai matlamat ditetapkan.

Katanya dunia sedang bergerak pantas dengan tekonolgi kecerdasan buatan (AI), automasi, semikonduktor, ekonomi digital dan teknologi hijau sedang mencipta sumber kekayaan baharu.

“Usahawan Bumiputera mesti berada lebih awal dalam gelombang ini bukan sekadar sebagai pengguna atau peserta, tetapi sebagai pemilik, pencipta dan peneraju. Justeru, 2035 bukan sekadar satu sasaran dalam PuTERA35 tetapi adalah amanah kepada generasi seterusnya”, katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.