
KENINGAU, 27 Ogos – Kerajaan bersedia menawarkan bantuan aset kepada Indonesia sekiranya diperlukan bagi membantu menangani kebakaran hutan dan masalah jerebu rentas sempadan.
- METMalaysia bangunkan sistem pemantauan jerebu dan berkongsi sistem itu dengan Indonesia serta negara lain.
- Perbincangan menteri dua negara mencapai persetujuan meningkatkan langkah pencegahan dan pemadaman awal menjelang El Nino.
- Kenyataan dibuat selepas majlis pelancaran Program NEXUS dan penyerahan KWAPM 2026, 161 murid menerima RM100 setiap seorang.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara jiran dalam menangani isu berkenaan secara bersama.
“Kerajaan menawarkan bantuan aset sekiranya diperlukan dan kita bersedia membantu negara jiran supaya kita dapat bersama-sama menangani masalah ini.
“Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah membangunkan beberapa sistem bagi membantu memantau pergerakan jerebu. Sistem ini turut dikongsikan dengan Indonesia dan negara-negara lain,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Arthur mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat, dengan kedua-dua negara bersetuju meningkatkan langkah pencegahan dan pemadaman awal susulan El Nino yang dijangka semakin meningkat menjelang Oktober.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program NEXUS, Perasmian Dewan Seri Awantang dan Penyerahan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Karamatoi, di sini.
Pada majlis itu, seramai 161 murid menerima bantuan KWAPM sebanyak RM100 setiap seorang.