
NEPAL, 27 Ogos – Sekumpulan 45 pendaki Malaysia yang kini berada di Annapurna Base Camp, wilayah Pokhara, di sini, dilaporkan selamat dan tidak terjejas secara langsung akibat banjir serta tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan negara itu.
- Kira-kira 40 kilometer laluan utama antara Kathmandu dan Pokhara rosak akibat banjir dan tanah runtuh.
- Kumpulan berada di Annapurna Base Camp pada kira-kira 4,130 meter; hujan berselang-seli dan risiko tanah runtuh semasa musim monsun.
- Pilihan pulang mungkin menggunakan helikopter atau penerbangan komersial, bergantung kepada ketersediaan dan perkembangan laluan.
Bagaimanapun, keadaan laluan keluar dari kawasan pendakian antara Pokhara dan Kathmandu masih belum dapat dipastikan susulan kerosakan jalan akibat bencana berkenaan.
Kumpulan pendaki yang dikendalikan Ohana Travel and Tours itu kini berada di Annapurna Base Camp pada ketinggian kira-kira 4,130 meter dari aras laut.
Menurut salah seorang kru, Muhammad Haris Hakimi M. Zamri, keadaan di kawasan itu masih terkawal, meskipun hujan turun berselang-seli berikutan musim monsun.
“Setiap kali tiba musim monsun, memang akan berlaku kejadian tanah runtuh di Nepal. Laluan pendakian biasanya ditutup pada hujung Jun hingga awal Ogos. Jadi, kami merupakan kumpulan pertama yang pergi selepas laluan itu dibuka semula.
“Bagaimanapun, ketika ini masih dalam musim monsun. Berdasarkan maklumat daripada pemandu tempatan, kira-kira 40 kilometer laluan utama antara Kathmandu dan Pokhara mengalami kerosakan. Jadi, pilihan untuk kami pulang nanti mungkin dengan menaiki helikopter atau penerbangan, bergantung kepada ketersediaan.
“Jadi, kami akan menunggu perkembangan terkini daripada pemandu tempatan esok di rumah tamu atau di Pokhara,” katanya kepada RTM.
Kumpulan itu dijadual menamatkan perjalanan di Nepal pada 31 Ogos ini sebelum kembali ke Malaysia. Seramai 45 pendaki Malaysia bersama tiga kru Ohana terlibat dalam tiga pakej pendakian yang dikendalikan syarikat berkenaan.
Sementara itu, banjir dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet terus mencetuskan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.
Setakat perkembangan terkini, Kementerian Luar memaklumkan 55 rakyat Malaysia di Daerah Rasuwa masih belum dapat dihubungi susulan bencana berkenaan.