KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kerajaan sedang mempergiat usaha ke arah pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 yang dijadualkan dilancarkan tahun hadapan, bagi memperkukuh perlindungan pelajar serta tadbir urus institusi tahfiz secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang, pemantapan kurikulum dan model Pendidikan Tahfiz Kebangsaan, pemerkasaan modal insan dan tadbir urus institusi, peluasan laluan pendidikan serta kebolehpasaran huffaz.
Dalam masa sama katanya, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) turut dilancarkan bersempena Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara yang akan berlangsung pada 21 Disember 2025 di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak.
"Ia sebagai mekanisme penting untuk menyeragamkan standard kualiti institusi tahfiz, meliputi aspek tadbir urus, kebajikan pelajar, kualiti pengajaran, prasarana serta pematuhan perundangan, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan berakhlak," katanya dalam menerusi satu kenyataan.
Beliau yakin langkah-langkah bersepadu itu akan menjadi asas kukuh dalam memulihkan keyakinan masyarakat, memperkasa institusi tahfiz secara berhemah serta memastikan pendidikan al-Quran terus berkembang dalam kerangka yang berperikemanusiaan, berperaturan dan berteraskan nilai rahmah.
"Moga ikhtiar ini menjadi asbab institusi tahfiz terus dimartabatkan sebagai medan melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan dihormati, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan pembangunan negara," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut meluahkan kekesalan yang mendalam terhadap insiden-insiden yang tular baru-baru ini melibatkan keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama, termasuk kejadian di Sabah dan rakaman penderaan fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz.
Beliau berkata, sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjadi medan pembinaan akhlak, ihsan dan kasih sayang.
Katanya, perbuatan sedemikian bukan sahaja mencederakan mangsa, malah mencemar nama baik pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng pembentukan sahsiah ummah.
"Sehubungan itu, saya berharap tindakan undang-undang diambil secara segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah, selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada, demi menegakkan keadilan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.
"Walaubagaimanapun, saya menegaskan bahawa insiden terpencil ini tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz negara. Majoriti institusi tahfiz, guru dan para asatizah telah melaksanakan amanah mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi, hikmah dan tanggungjawab," katanya.