fb fb fb fb fb

Kerajaan perkemas data mangsa banjir

(FOTO RTM)

DUNGUN, 30 Mei-Kerajaan akan memperkemaskan sistem pengkalan data bagi memudahkan pendaftaran Insurans Rahmah kepada semua mangsa banjir di seluruh negara.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kesemua data-data berkenaan akan dikumpul menerusi kerjasama agensi-agensi bertanggungjawab seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya lagi, pengumpulan data itu bakal mengambil masa sekitar enam bulan bagi mengumpul dan menyelaras data-data tersebut.

"Beri kami masa tempoh enam bulan untuk pihak kami menyelaraskan data-data tersebut.

"Melalui data yang tepat akan memudahkan syarikat insuran menawarkan pakej yang bersesuaian kepada mangsa banjir.

"Kita mahukan kediaman serta kenderaan mangsa banjir dapat diinsuranskan dengan pakej menarik dan tidak membebankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan sering dilanda banjir supaya segera mendaftar demi melengkapkan data terbabit.

"Setakat ini ada dua atau tiga syarikat insurans menawarkan minat untuk menyediakan pakej membantu mangsa banjir.

"Minggu depan ada beberapa lagi syarikat insurans yang akan mengemukakan pakej mereka dan kerajaan sebolehnya mahukan pakej yang murah dan tidak membebankan mereka yang mencarum serta mendapat perlindungan yang setimpal," katanya.

Datuk Seri Salahuddin berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Monsun Timur Laut-MTL 2022/2023 kepada penduduk terjejas banjir bagi daerah Dungun di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun.
 
Pada majlis ini seramai 300 penduduk terjejas banjir pada Disember 2022 dan Januari lalu menerima bantuan wang ihsan MTL berkenaan.


(Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub/ FOTO RTM)

Media Baharu