fb fb fb fb fb

Ilmu bahasa dan sastera tidak harus dilupakan - PM

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Aspek ketamadunan seperti ilmu bahasa dan sastera tidak harus dilupakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam era yang dikuasai teknologi digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek itu merupakan kekuatan nilai dan akhlak sesebuah masyarakat.

Beliau berkata, negara juga tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun.

(Datuk Seri Anwar menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Seminar
Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Kuala Lumpur)

"Kita bicara soal karamah insaniah maka manusiawi itu tidak mampu dibentuk dengan hanya kerangka teknologi dan sains digitalisasi, ia dibentuk dengan pembangunan bangsa dan budaya.

"Walaupun ada pandangan-pandangan yang serong menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak releven, kita tidak boleh menerima fahaman cetek sedemikian kerana yang kita bicarakan itu mengangkat martabat bangsa,"katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Tambah Anwar, bagi merealisasikan perkara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu dijadikan sebagai gedung budaya dalam pembinaan sebuah negara yang bertamadun.

Media Baharu