fb fb fb fb fb

Fahami perlembagaan, elak timbul sandiwara politik - PM

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Seorang Pemimpin perlu memahami Perlembagaan Persekutuan agar sebarang kenyataan dikeluarkan tidak menimbulkan sandiwara politik.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersoalkan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

“Kadang-kadang bila seorang pemimpin itu bercakap, dia kena faham perlembagaan termasuk perjanjian yang telah dibuat terdahulu. Perkara itu jelas, jika saya nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain sebagai seorang Menteri Besar, adalah wajar untuk mengikut perundangan yang ditetapkan.

“Saya boleh komen ini berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup jelas iaitu menghormati perjanjian perlembagaan yang diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” kata Anwar.

Anwar ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini.

Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah ekoran negeri itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Mlaysia (JUPEM) sekiranya terdapat asas yang mengesahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menafikan dakwaan beberapa pemimpin Pas bahawa ada wakil daripada kerajaan menawarkan kepada parti itu untuk berkerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau katanya sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu dan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan.

Media Baharu