fb fb fb fb fb

Kerajaan optimis noktahkan kemiskinan tegar menerusi PADU

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 16 November- Kerajaan optimis untuk menoktahkan kemiskinan tegar dengan lebih berkesan menerusi Pangkalan Data Utama (PADU).

Jelas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, alternatif baharu yang lebih komprehensif itu bagi mengenal pasti pengukur garis kemiskinan menerusi pendekatan selain kadar pendapatan.

Beliau turut mengakui kaedah sedia ada yang telah diguna pakai sejak 1996 itu mempunyai kekurangan dan tidak memberi gambaran menyeluruh mengenai landskap ekonomi rakyat.

"Saya kira kesukaran yang ada sebelum ini kerana infrastruktur pangkalan data tidak menyeluruh dan tidak memungkinkan kerajaan mengambil kira pemboleh ubah ini sebab itu pendekatan sebelum ini diukur berdasarkan garis pendapatan.

"Sebab itu sudah tentu menerusi PADU serta dengan kemajuan teknologi dan sains data yang ada sekarang, membolehkan kerajaan mengumpul lebih banyak maklumat yang ada.

"Setakat ini PADU dijangka mempunyai 100 lebih pemboleh ubah setiap isi rumah keluarga.

"Ini membolehkan kita beralih daripada pendekatan sebelum ini daripada pendekatan pendapatan semata kearah perbelanjaan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, maknanya kita lihat daripada pendapatan dan kita tolak tanggungan dan ambil kira pemboleh ubah lain seperti lokasi dan harta. Pada pandangan kerajaan, akan beri gambaran lebih adil," kata Rafizi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam di Dewan Rakyat di sini.

PADU yang dijangka mula diaplikasi pada Januari tahun depan itu juga membantu kerajaan merangka program bertepatan kelompok yang disasarkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM