fb fb fb fb fb

Sektor pembinaan negara alami pertumbuhan luar biasa

Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2023 di MITEC, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 16 November- Sektor pembinaan negara mengalami pertumbuhan luar biasa dengan mencatatkan 9,144 projek berjaya dilaksanakan sehingga September tahun ini.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ia melibatkan pelaburan yang  besar dengan RM63 bilion khusus untuk inisiatif swasta dan RM84 bilion untuk projek kerajaan. 

Jelasnya, lebih membanggakan 91 peratus daripada projek itu diuruskan kontraktor tempatan, bukti kepakaran mereka dalam membentuk landskap infrastruktur Malaysia.

"91 Peratus daripada projek ini diuruskan dengan bangga oleh kontraktor tempatan, bukti kepakaran mereka dalam membentuk landskap infrastruktur Malaysia.

"Statistik ini bukan sahaja melambangkan kontrak tetapi juga merangkumi kemajuan, pembangunan, dan janji yang tidak berbelah bahagi untuk masa depan yang lebih cerah", katanya semasa berucap merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Borang Kontrak Standard CIDB untuk kerja-kerja Pembangunan Edisi 2022, selain turut menyaksikan penyampaian pensijilan Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa/Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (ISO/IEC).

ROSLINA BINTI DIN