fb fb fb fb fb

Kerajaan Negeri Sembilan teliti semula punca banjir di Johol

SEREMBAN, 18 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti dakwaan bahawa banjir luar biasa di Johol, Kuala Pilah, Isnin lepas berpunca daripada aktiviti pembukaan tanah hutan di kawasan berkenaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berpendapat kejadian banjir itu bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

"Saya berpendapat bukan disebabkan pembalakan kerana kawasan itu dijadikan (kawasan) tanaman semula pokok.

“Itu bukan pembalakan sebab tiada aktiviti pembalakan baharu setakat ini dan saya akan semak semula mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Exco di sini hari ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa banjir tersebut berlaku selepas hujan lebat berterusan seharian yang bukan sahaja berlaku di Johol tetapi juga di Port Dickson, Seremban dan kawasan lain di negeri ini.

Aminuddin berkata kejadian banjir berkenaan turut bergantung kepada jumlah taburan hujan dan sekiranya disebabkan kesilapan mana-mana individu maka pihaknya akan mengambil tindakan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tanaman jagung bijian akan dibangunkan di tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) di Gemas, Tampin, seluas 161 hektar (400 ekar).

"Hari ini pihak MBI Negeri Sembilan akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk projek usaha sama tanaman jagung bijian menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan dan berharap ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan tersebut," katanya.

Beliau berkata pihaknya perlu bersedia lebih awal untuk memulakan tanaman bijian seperti ini bagi mengelak krisis bekalan makanan seperti isu minyak sawit di Indonesia dan gandum di India.

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

"Ini tanda-tanda kita kena bersedia dari sekarang biar ia mula secara kecilan yang penting ada permulaan.

“Jangan lambat, kita khuatir bekalan makanan tidak mencukupi dan akhirnya harga makanan terus meningkat dan kemudian membebankan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya akan terus melihat tapak-tapak yang bersesuaian di negeri ini untuk dibangunkan tanaman selain jagung.

Media Baharu