fb fb fb fb fb

Perlu bijak susun keutamaan dan agihan sumber terhad meski dihimpit beban perbelanjaan - Raja Perlis

KANGAR, 9 Ogos- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, Kerajaan Negeri perlu terus giat menyusun semula strategi dan pelan untuk membangunkan ekonomi negeri dan pada masa yang sama perhatian serius diberikan untuk membantu rakyat yang terkesan.

Walaupun himpitan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung Kerajaan Negeri namun dalam masa sama harus bijak menyusun keutamaan dan pengagihan sumber yang terhad.

Keutamaan harus diberikan kepada program dan projek pembangunan yang bersifat berpaksikan rakyat, produktif serta memberikan manfaat terus untuk rakyat sambil mengelakkan pembaziran serta membendung ketirisan.

Baginda turut menyeru supaya kerjasama dengan Kerajaan Pusat terus diperkukuhkan dan berterima kasih di atas komitmen Kerajaan Pusat dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

Di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas, 138 projek dengan peruntukan sebanyak RM412.7 juta telah diluluskan kepada Perlis, manakala peruntukan khas Kementerian Kewangan sebanyak RM20 juta telah diberikan untuk melaksanakan inisiatif pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menegaskan agar semua jabatan dan agensi negeri yang terlibat memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang ditetapkan serta pelaksanaan semua projek perlu ditadbir dengan cekap, dipantau dan dilaporkan secara berkala bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani tanpa berlengah.

Baginda bertitah pada Perasmian Penggal Persidangan Kelima dan Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Terdahu baginda menerima tabik hormat dari pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan terdiri tiga pegawai dan 102 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan.


(Raja Perlis,  Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerima tabik hormat
dari pasukan Perbarisan Kawalan Kehormatan terdiri tiga pegawai dan 102
anggota Pasukan Simpanan Persekutuan)

Media Baharu