fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri disaran gubal pelan kepelbagaian biologi

Nik Nazmi Nik Ahmad pada Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023

PUTRAJAYA, 24 Oktober- Kerajaan negeri disaran menggubal pelan kepelbagaian biologi di negeri masing-masing selari Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuliharaan kepelbagaian biologi memerlukan dokongan budaya, budaya kerja serta nilai motivasi dan ketinggian moral.

Malah, katanya Malaysia beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai iaitu ketika ini, keluasan kawasan berhutan negara adalah 18,045,600 hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara.

Teks ucapannya yang dibacakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia selaras dengan Malaysia yang berada dalam 17 kelompok negara terkaya dengan biodiversiti.

"Kita juga sudah bentangkan dalam Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara yang mana dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri. Jadi setakat ini tidak ada masalah,dari segi maklum balas mereka bagi sangat bagus tentang hal ini,"katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 dan meluncurkan DKBK 2022-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

DKBK merupakan hasil semakan semula DKBK 2016-2025 dengan mengambil kira keperluan semasa di peringkat kebangsaan dan kerangka kepelbagaian biologi antarabangsa iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework berdasarkan keadaan, keutamaan dan keupayaan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE